Header Ads

BERTUNANG





Majlis pertunangan dengan belanjawan bijak


Pertunangan merupakan satu majlis yang cukup ringkas dan sederhana. Walaupun begitu, tanpa persediaan dan perancangan yang rapi, kos perbelanjaan yang sepatutnya dapat dikurangkan mungkin akan tersasar jauh daripada yang sepatutnya.


Tip 1. Antara perkara penting yang harus difikirkan adalah soal hantaran. Setiap pasangan perlu menyenaraikan barang-barang yang ingin diberikan kepada pasangan masing-masing. Untuk menjimatkan kos, sudah tentu anda harus menyenaraikan barang-barang yang anda rasakan benar-benar perlu sahaja. Anda disarankan menghantar sebahagian sahaja barang hantaran, dan selebihnya dihantar semasa majlis perkahwinan anda nanti.

Tip 2Jika anda membeli barang di saat-saat akhir, sudah tentu anda tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal. Sebaliknya, jika perancangan telah dibuat dengan lebih awal, barang-barang mungkin dapat dibeli pada harga yang lebih murah. Lebih-lebih lagi jika ada promosi atau jualan murah. Dalam hal ini, anda mampu mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga yang jauh lebih rendah.

Tip 3. Mahu lebih jimat? Bagi anda yang mempunyai adik-beradik atau ahli keluarga lain yang masih menyimpan barang-barang majlis mereka, apa kata anda pinjam sahaja daripada mereka. Tiada masalah untuk menggunakan kembali barangan-barangan yang sedia ada jika anda seorang yang kreatif. Sama ada dari segi busana, hantaran, mahupun aksesori. Semuanya boleh diubah suai atau diperbaharui mengikut kreativiti.

Tip 4. Jumlah jemputan anda pada hari itu menentukan jumlah bajet yang anda perlu peruntukkan untuk hidangan. Jadi, bagi majlis yang sederhana sebegini, jemputlah ahli keluarga, saudara-mara, teman serta jiran terdekat sahaja. Jangan lupa memilih dan menyenaraikan jenis lauk-pauk yang hendak dihidangkan kepada para tetamu.

Tip 5. Bagi anda yang ingin mengajak lebih ramai kaum keluarga dan kenalan untuk menghadiri majlis anda, ini sedikit sebanyak menambahkan kos jamuan, khemah, dan sebagainya. Jadi, yang perlu dilakukan adalah berbincang dengan keluarga anda, siapa dan berapa anggaran jemputan supaya anda tidak berasa malu dengan para jemputan andai kata makanan atau ruang tidak mencukupi.

Tip 6. Selain menyeronokkan, majlis anda akan lebih meriah dengan mengadakan kenduri secara bergotong-royong. Di samping menjimatkan kos berbanding menggunakan katering, anda tentu berpuas hati apabila melihat kaum keluarga dan sahabat handai bersama-sama melakukan kerja-kerja pertunangan atau perkahwinan anda. Hal ini tidak semestinya sesuai diadakan di luar bandar, malah di bandar juga digalakkan.

sumber: pesona pengantin

Powered by Blogger.